Thursday, January 05, 2006

Jenayah Kanak-Kanak

Beberapa hari lepas terdapat satu tajuk berita yang membuatkan saya termenung panjang dan berfikir apa akan terjadi mungkin 5 atau 10 tahun akan datang?. Tajuk peningkatan kes jumlah jenayah kanak-kanak amat menganggu minda saya kerana saya juga mempunyai dua orang anak yang sedang membesar. Di mana agak silapnya dan di mana tidak kenanya dengan masyarakat Negara kita ini?.


Persoalan ini, membawa saya melihat masalah ini hingga ke akar umbi. Sambil-sambil itu, saya menyiram pokok bunga yang ditanam dihalaman rumah saya. Tengah asyik berfikir dan merenung mata ternampak satu dahan pokok bunga yang telah mati, dan saya memotong batangnya dan saya dapat melihat terdapat satu lubang. Dan beberapa ekor semut anai-anai berada di dalamnya. Saya terus memotong beberapa bahagian lain dan melihat anai-anai itu berada hampir lima puluh peratus di dahan pokok itu. Tanpa saya sedar. Saya telah memotong hingga ke batang pokok itu. Lantas saya cuba mengali tanah di dalam pasu pokok bunga itu, alangkah terkejut saya sebab di dalam pokok bunga itu terdapat sarang semut anai-anai. Padahal saya sering membaja dan menyiram pokok itu. Saya amat hairan!

Lantas mengajak minda saya berfikir. Begini rupanya masalah jenayah kanak. Kanak-kanak yang melakukan jenayah mungkin boleh diumpamakan dahan pokok yang berulat. Dahan datangnya dari batang dan batang berpaksi kepada akar dan tanah kawasan bunga itu. Nampaknya, dahan tadi berulat bukan kerana dahan itu bermasalah tetapi berpunca dari akar dan dari tanah pasu bunga itu. Hal yang sama untuk anak-anak kita, mereka bermasalah bukan kerana faktor mereka itu sendiri tetapi kerana asas didikan dan persekitaran mereka telah menjadikan mereka demikian.

Apa yang paling utama, ialah peranan setiap individu masyarakat yang merupakan akar kepada masyarakat. Setiap individu mesti menjadi contoh yang baik kepada mereka. Contoh yang paling dekat ialah ibu bapa. Ibu bapa sendiri mesti menjadi baik dahulu, mengamalkan cara hidup dan pemikiran yang baik dalam menyediakan satu situasi yang sihat untuk anak-anak.

Saya melihat masalah jenayah kanak-kanak ini adalah masalah sampingan yang wujud kesan daripada masalah yang dihadapi oleh warganegara kita. Warga kita sebenarnya bermasalah, ada sesuatu yang tidak kena dalam pembentukan dan pembangunan sasiah diri dan peribadi masyarakat kita. Sesuatu yang tidak kena berkaitan dengan persepsi dan pemikiran mereka.

Walaupun kita menjaga aspek luaran (material)seperti saya menyiram dan membaja pokok bunga saya setiap hari namun masih terdapat elemen dalaman iaitu akar di dalam tanah yang saya terlepas pandang kerana aspek luaran pokok bunga saya tadi nampak hampir sempurna. Saya hanya menyedari pokok itu akan mati apabila sudah sampai ke tahap yang serius. Batang-batangnya sudah berlubang, semut anai-anai telah menguasai dan memakan bahagian dalam pokok itu. Nampaknya semut anai-anai ini menyerang dari dalam. Maksudnya, masalah kefahaman tentang nilai adalah serangan dalaman yang menyerang pemikiran kita dan mengaburkan kita untuk membezakan yang mana baik dan buruk.

Saya tidak mahu dua orang anak saya menjadi mangsa kepada kerosakan dalaman seperti yang menimpa pokok bunga saya. Oleh itu, apa yang perlu bagi saya dan seluruh warga ialah membina dan menyedarkan diri kita dengan nilai yang mulia dan benar. Bagi saya tentu sekali agama Islam. Betulkan diri kita dahulu, jadikan kita baik dahulu, barulah anak-anak kita akan menjadi baik dan warganegara yang bertanggungjawab. Insyallah.

No comments:

Pages


ShoutMix chat widget
 

Palomar