Thursday, July 06, 2006

Mantera adakah sesiapa pun boleh menciptanya?

Mantera ada kaitan amat rapat dengan budaya yang diwarisi daripada budaya Hindu Buddha. Sedia maklum,budaya Melayu kuno amat terpengaruh dengan amalan kepercayaan Hindu Buddha dan sesetengahnya masih diamalkan dan dengan bangga mengakui itu adalah adat kita.

Walau sesetengah amalan dan ritual itu amat bertentangan dengan ajaran agama suci kita Islam. Maksud tulisan saya ini bukan berhasrat untuk mengajar atau mempopularkan mantera di ruangan ini. Tetapi alangkah baiknya sekiranya kita boleh berkongsi sedikit sebanyak pengetahuan tentang amalan bacaan mantera ini supaya kita tidak dapat mencari kebenaran dan kebatilan dengan jelas. Sekiranya anda berminat untuk mendalami mantera boleh rujuk buku yang ditulis oleh Skeat “ Malay Magic” dan juga oleh Haron Daud.(2002). Buku Malay Magic lebih kepada koleksi mantera, dan buku Haron Daud akan menceritakan pandang alam (Weltanschauung) mantera itu sendiri.

Asas utama kepada mantera ialah kuasa kata. Kata atau ayat-ayat sekiranya disusun dengan cara tertentu mengikut adab dan peraturan tertentu akan boleh mengarahkan alam ( makhluk ghaib, dan nyata ) untuk mengikut perintah pembaca mantera itu. Kata-kata itu akan mempunyai kuasa.

Untuk memahami mantera ada beberapa perkara asas yang perlu kita faham. Bagaimana mantera ini boleh mendapat satu mekanisme kuasa untuk menundukkan sesuatu atau sebagainya. Memang tidak dapat dinafikan semuanya berpunca daripada Allah. Namun di dalam kepercayaan konsep “binary” atau konsep penduaan. Kita yakin Tuhan menjadikan sesuatu itu secara berpasangan dan berdua-duaan ada yang lemah dan ada yang kuat. Seperti lelaki perempuan, Ying dan Yang (Taoisme) kiri kanan, atas bawah dan sebagainya. Oleh sebab itu, pasangan atau konsep “binary” merupakan binaan yang harus terdapat di dalam “spell” atau mantera selain daripada kata-kata yang tersusun dan teratur.


Bagaimana mantera boleh melahirkan kuasa. ( Teori)
Ia mempunyai kaitan yang amat rapat dengan hukum konvensi alam. Setiap makhluk mempunyai lingkaran tersendiri yang boleh dilangkahi atau pantang dilangkahi. Sebagai contoh kita manusia mesti menghormati ibu bapa. Sesiapa yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa, maka neraka balasannya. Hal yang sama kepada sesuatu makhluk contohnya harimau dipercayai mempunyai satu nama ibu (rujuk Haron Daud. 2002). Dengan menyebut nama ibu harimau ini bangkit asal usul, kita akan berupaya mengarahkan harimau itu melakukan atau menghalang harimau itu daripada melakukan sesuatu yang kita hajatkan. Sekiranya ia melanggar atau ingkar ia akan dihukum dengan konvensi dan peraturan alam ( Allah), Tradisi hindu ( Brahman). Hal yang sama dengan unsur-unsur alam lain.

Antara unsur konvensi alam yang sering digunakan di dalam mantera ialah
1) asal-usul (masukan unsur “binary” )
2) nama induk (ibu)
3) unsur yang menjadi kelemahan kepada mereka- seperti raja kayu, Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan lain-lain
4) nama guru mereka ( dipercayai untuk makhluk yang bersalah atau terkena sumpahan guru)
5) Perintah Rasullah dan Allah.

Mantera harus mempunyai bangkit asal usul, kaitkan dengan konvensi, perintah (apa yang dihajati oleh manusia) dan hukum atau balasan (daripada sumber kelemahan itu, umumnya Nabi Muhammad, Allah atau unsur-unsur yang melemahkan mereka) sekiranya melanggar perintah yang dibacakan oleh pengucap mantera itu.

Dalam erti kata lain mantera seperti paksaan,suruhan dan cubaan untuk mempengaruhi. Dengan yang mensyaratkan sesuatu unsur ghaib atau alam membantu, mengikut perintah pembaca mantera untuk melakukan sesuatu. Maksudnya pembaca mantera memanfaatkan sumber kuasa yang ada pada ayat dan kata untuk mempengaruhi alam.

Ayat dan kata mempunyai kuasa yang tersendiri yang kebanyakan daripada kita hanya menggunakannya untuk berhubung sesama manusia. Sedangkan ayat juga boleh digunakan untuk bahasa perhubungan dengan alam, ghaib, dan transendental ( dengan Allah). Dalam konteks mantera bahasa digunakan untuk berhubungan dengan alam, mengarahkan alam, dan memberikan kelebihan kepada manusia untuk menguruskan alam dengan baik. Namun tentu sekali ia tidak boleh dibandingkan dengan kelebihan ayat-ayat suci Al-Quran.

Saya pernah mendengar kisah kehebatan Ayat Suci Al-Quran (tidak boleh dikategorikan sebagai mantera kerana kalam Allah. Sebaliknya mantera adalah ciptaan manusia). Apabila sesuatu ayat Al-Quran yang maksudnya berunsur damai, tentang bercerita tentang syurga dan baik-baik dibacakan kepada segelas air yang suci (mutlak) zarah-zarah air itu menjadi bercahaya dan berwarna-warni seperti pelangi. Molekul dan zarah-zarah air tersebut berupaya untuk menyembuhkan penyakit. Dan apabila sesuatu ayat yang maksudnya berunsur ganas dan kejam seperti seksa di neraka jahanam maka zarah-zarah air tadi akan berubah menjadi satu bentuk molekul yang berbeza dan seperti beracun. Jika difikirkan memang benar kerana Alam dan makhluk Allah selain manusia boleh memahami dan tidak sanggup menerima kitab Allah. Bukit pun pecah, inikan pula air.

Kesimpulannya, Mantera adalah sesuatu yang unik. Ia telah dianggap sebagai satu puisi. Mungkin kerana penelitian lebih kepada faktor bahasanya. Sedangkan di dalam mantera itu terdapat satu kumpulan pengaruh-pengaruh alam (vibration) yang boleh bertindak balas dengan getaran (vibration) makhluk, alam yang lain. Pengamalnya berpendapat ia tidak boleh dibaca semberono kerana ada unsur-unsur alam sama ada nyata atau ghaib yang terlibat. Namun itu semua tidak akan berlaku dan terzahir tanpa izin Allah. Wallah hu’alam

Pages


ShoutMix chat widget
 

Palomar