Friday, February 24, 2006

Tiga Hari Berkenalan Jalinkan Hubungan Intim

Oleh Haryani Ismail (Berita Harian Singapura)

SEBILANGAN remaja Melayu kini menjalin hubungan seks di luar nikah dengan pasangan yang baru dua atau tiga hari dikenali.

Kebanyakan daripada mereka berkenalan di pusat membeli-belah, restoran makanan segera atau menerusi kenalan.

Namun, ada yang mesra serta-merta walaupun baru berkenalan melalui bilik sembang cyber (chatroom) atau khidmat sembang telefon (phone chat).

Trend membimbangkan ini disahkan oleh beberapa kaunselor ketika dihubungi baru-baru ini.



Walaupun tiada perangkaan rasmi, mereka berkata kini lebih separuh daripada setiap 10 kes yang mereka tangani melibatkan remaja dengan pasangan yang baru beberapa hari dikenali.

Ini berbanding dengan satu atau dua kes sahaja sekitar lima tahun lalu.
Seorang kaunselor sekolah, Cik Susan Koh, berkata antara faktor yang menyebabkan remaja terjebak dengan seks serta-merta ialah kesunyian yang sukar diatasi, keinginan membuktikan mereka berani melakukan perkara terlarang dan perasaan memberontak terhadap ibu bapa.

Memberi contoh satu kes, Cik Koh berkata: "Seorang gadis Melayu yang 'kaki Internet' keluar dengan lelaki yang disangkanya bujang.

"Mereka berkenalan melalui bilik sembang dan selepas dua hari berkenalan, mereka mengadakan hubungan seks di rumah gadis itu ketika ibu bapanya tiada di rumah.

"Apabila dia hamil, barulah dia dapat tahu bahawa lelaki itu sudah berumah tangga dan mempunyai tiga anak."

Pengurus Pusat Al-Hijrah kelolaan Angkatan Karyawan Islam (AMP), Cik Zaleha Ahmad, yang mengelolakan Program Pasangan Muda, pula berkata: "Sekarang kita dapat lihat pada hari pertama mereka berkenalan, hari kedua mereka keluar bersama dan hari ketiga mereka melakukan hubungan seks.

"Ada juga kes remaja kurang cerdas melakukan hubungan seks selepas berkenalan di Internet."

Secara purata, 200 kes pasangan muda -- sebilangan besar melibatkan kehamilan di luar nikah -- dirujuk kepada Pusat Al-Hijrah setiap tahun.

Menyedari menularnya penyalahgunaan sembang siber, topik mengenai menangani pelawaan seks dalam Internet kini disertakan dalam sukatan pendidikan seks di sekolah.

Seorang guru, Cik Fatimah Hamid, 28 tahun, berkata: "Topik ini banyak membantu pelajar membezakan antara dunia siber dengan realiti.

"Sesetengah pelajar saya berkata mereka pernah berdepan dengan ajakan seks. Saya sering tegaskan mereka harus berhati-hati dan tidak mudah termakan dengan pelawaan sedemikian."


Catatan: Di petik dari Berita Harian Singapura."

No comments:

Pages


ShoutMix chat widget
 

Palomar