Wednesday, March 08, 2006

Membudayakan Kembali Tulisan Jawi



Langkah Menteri Kebudayaan dan Warisan menggalakkan penggunaan semula tulisan jawi dilihat sebagai satu langkah positif untuk memartabatkan maruah Bahasa Melayu di negara ini yang dilihat semakin hari semakin tercabar dengan pengaruh globalisasi. Langkah menganggung kos untuk menerbitkan semula Utusan Melayu dalam Tulisan Jawi setiap hari Ahad merupakan satu langkah yang amat dialu-alukan. Punca hakisan kepada adab susila, sopan santun dan budi bahasa orang Melayu harus dilihat secara menyeluruh. Ia boleh bermula dengan susunan huruf dan akhirnya diterjemahkan kepada susunan kata-kata dalam percakapan harian. Maksudnya kedominan pengaruh luar yang memasuki tetingkap atau skrin monitor,komputer, PDA, telefon mobile dan apa sahaja bukan penghalang kepada usaha untuk memantapkan jati diri dan tamaddun orang Melayu Islam di negara ini.

Warga Islam di negara ini tidak boleh menjadikan alasan globalisasi, langit terbuka, kedominanan Bahasa Inggeris sebagai satu pass percuma untuk membenarkan mereka tidak mempelajari tulisan jawi. Malah, tidak salah dan dangkal sekiranya tulisan ini boleh digalakan untuk digunakan secara bersama dalam sebuah negara majmuk di Malaysia. Dalam satu aspek, Bahasa Melayu di Malaysia banyak mengorbankan imejnya untuk menjamin keamanan dan keharmonian kaum di Malaysia. Bentuk asal tulisan Bahasa Melayu mula mengalami transformasi selaras dengan transformasi kaum di Malaysia. Namun, ini tidak boleh dijadikan satu alasan oleh penutur dan pemilik bahasa utama dirantau ini untuk mengabaikan bentuk dan format jati bahasa ini.

Tulisan Jawi amat senonim dengan orang Melayu Islam. Ia menjadi satu medium utama dalam menyebarkan agama Islam suatu masa dulu. Ia mendarah daging ratusan tahun tetapi telah dikelar dengan rakus oleh penjajah satu masa dahulu membakarnya dan menghidangkan kita dengan satu resipi tulisan roman yang kita gunakan hari ini. Sekarang sudah tiba masanya kita menghidangkan satu resipi asli tulisan Melayu kepada penuturnya. Adakah kita terlambat di dalam usaha ini?

Situasi hari ini juga amat membimbangkan. Pelbagai lebel dan imej diberikan kepada penganut Islam menjadikan agama islam dilihat sebagai agama yang bersifat ganas, fanatik dan sebagainya. Oleh kerana tulisan jawi berasal daripada tradisi agama Islam iaitu tulisan arab. Mungkin ramai yang akan prejudis dan tidak yakin terhadap kemampuan tulisan jawi di dalam konteks masyarakat hari ini. Aspek keberkesananya, kegunaanya dan implimentasinya bakal berhadapan dengan masalah kerana kecalaran imej agama Islam yang telah digembar gemburkan.

Langkah menggalakkan semula pengguna tulisan jawi, tidak harus dilihat dengan kaca mata songsang oleh masyarakat pelbagai etnik negara ini. Ia bukan satu usaha untuk mengislamkan orang bukan Islam dengan tulisan tetapi sebagai satu usaha untuk memantapkan jati diri orang Melayu Islam di negara ini.

Selain daripada penggunaan di dalam penerbitan tempatan. Langkah mempopularkan tulisan jawi ini harus lebih menyeluruh termasuk penggunaan di dalam laman-laman web tempatan, kerajaan (ada versi jawi), perisian Microsoft Office Jawi , telefon mobile dan lain-lain. Perisian komputer di dalam tulisan jawi amat kurang malah susah untuk ditemui. Sekiranya, ia dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan gembelingan pihak kerajaan dan swasta matlamat ini boleh dicapai.

Walaupun, ia tidak melibatkan pindaan dasar bahasa di dalam negara kita. Bahasa Jawi amat berpontesi untuk dimajukan dan dipopularkan. Antara kebaikan lain bahasa jawi ialah apabila ditulis penulis boleh menulis dengan lebih cepat kerana bentuk kalimat atau perkataan yang bersambung. Suatu masa dulu, pelajar-pelajar sekolah diajar bagaimana menulis huruf roman cursive (bersambung) untuk membolehkan mereka menulis atau menyalin nota dengan cepat. Malah Perdana Menteri kita sekarang pun banyak menulis notanya dalam tulisan jawi. Ini menunjukan, tulisan jawi masih releven. Satu usaha yang mencabar sekarang ialah untuk memupuk perasaan cinta dan sayang kepada tulisan sendiri. Tulisan bangsa sendiri, bukan hanya dengan mengganguk kepala setuju tetapi hati juga harus turut sama memahami akan kepentingan membudayakan kembali tulisan ini.

1 comment:

damak09 said...

Kudis,, itu masih berdarah,,harus diubat cepat-cepat. Walau apa pun kata silam.. Masa depan harus dirancang. Mudahan, ia cepat sembuh.

Pages


ShoutMix chat widget
 

Palomar